Informasi Sukan Malaysia

Punca Pasukan Sarawak Gagal Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2014

Suku Akhir Piala Malaysia 2014
Punca Pasukan Sarawak Gagal Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2014 | Kuching: Pasukan yang bercita-cita menjuarai kejohanan Piala Malaysia perlu menggunakan sebanyak mungkin pemain luar selain dibantu faktor nasib, kata ketua jurulatih Sarawak Robert Alberts.
Jurulatih dari Belanda itu berkata demikian bagi mengulas pencapaian lemah pasukannya musim ini kerana tidak dapat menggunakan sepenuhnya khidmat semua empat pemain importnya apabila penyerang dari Bosnia-Herzegovina Muamer Salibasic dan pemain Lubnan Hassan El Mohamed, mengalami kecederaan. 
Musim lalu, Sarawak berjaya mara hingga ke separuh akhir kejohanan Piala Malaysia tetapi musim ini pasukan berkenaan menduduki tangga paling bawah dalam Kumpulan B selepas seri 1-1 dengan Perak malam kelmarin. 

“Kami kehilangan khidmat Muamer sejak bermulanya musim ini lagi. Dia menjadi pemangkin bagi pasukan dan kerap menghantar bola kepada penyerang,” katanya.

Alberts berkata, beliau tidak menggantikan Muamer ketika pintu perpindahan dibuka kerana doktor memberi jaminan pemain itu akan dapat kembali beraksi.

“Kalaulah kami ada pemain berkaliber seperti Muamer dan Gabor (Gypes) serta Ryan (Griffiths), tentu kami mencatat prestasi lebih baik dalam kejohanan Piala Malaysia musim ini,” katanya. 

Menurut beliau, pasukan Sarawak kehilangan daya sambungan kerana tiada pemain tempatan yang mampu menghantar bola seperti Muamer kepada penyerang untuk membuat jaringan. 

Mengenai keputusan seri dengan Perak, Alberts berkata keputusan itu tidak sepatutnya berlaku. 

“Saya rasa kami sepatutnya menang perlawanan itu kerana kami menguasai permainan dan mendapat beberapa peluang baik untuk menjaringkan gol, tapi pemain kami tidak memanfaatkannya,” kata Alberts. 

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada dua peluang keemasan yang terlepas begitu saja apabila rembatan Akhmal Rizal dan Lot Ali Hassan di depan pintu gol Perak yang ternganga luas, tersasar. 

Ditanya sama ada gol jaringan Perak pada minit ke-17 itu ofsaid, Alberts berkata: “Kalau mengikut video, begitulah, tapi daripada sudut lain, mungkin bukan ofsaid, itupun kalaulah penjaga garisan berada di kedudukan sepatutnya.” 

Alberts bagaimanapun berkata, gol penyamaan itu mengecewakan pemain Sarawak kerana bantahan mereka tidak dipedulikan pengadil. - Bernama

1 Komentar untuk "Punca Pasukan Sarawak Gagal Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia 2014"

Sudah tiba masanya pemain tempatan menyinar untuk seimbangkan satu pasukan

Back To Top