Terengganu Minta Tiket Lebih Dengan JDT Suku Akhir Piala Malaysia 2014 | Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta membantu untuk mendapatkan tiket tambahan untuk peminat Terengganu menyaksikan perlawanan suku akhir kedua, Piala Malaysia di antara Terengganu dan Johor di Stadium Larkin, Johor Bahru, Khamis ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Terengganu (PBSNT), Arpin Draman berkata ini kerana selepas rayuan dibuat, setakat ini PBSNT hanya diluluskan peruntukan 50 tiket sahaja.
"Sebelum itu kita diluluskan 30 tiket, itupun kita masih merayu kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan FAM," katanya, hari ini.
Laporan akhbar menyebut PBSNT tidak berpuas hati kerana hanya diperuntukkan 30 tiket untuk perlawanan Terengganu menentang JDT, Khamis ini.
Menurut Arpin, PBSNT menulis surat kepada FAM hari ini dan berharap badan induk itu akan melihat serta mengambil perhatian rayuan PBSNT itu.
"Dalam masa yang sama juga kita menulis surat kepada JDT supaya diberikan tiket tambahan," katanya.
Arpin berkata FAM perlu melihat perkara ini kerana PBSNT merasakan jumlah tiket yang disediakan terlalu kecil berbanding peminat Terengganu yang bakal hadir di gelanggang nanti.
Katanya Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berjanji menyediakan 50 bas untuk membawa 2,000 penyokong Terengganu ke Johor.
Sementara itu, pengendali pasukan Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim berkata semangat pasukannya sedikit sebanyak terjejas berikutan perubahan tarikh baharu perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia.
Namun dia tetap yakin anak buahnya akan menunjukkan persembahan terbaik.
Kedua-dua pasukan seri 0-0 dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin di sini Jumaat lalu. - BERNAMA
Tag :
BOLASEPAK,
PIALA MALAYSIA
0 Komen untuk "Terengganu Minta Tiket Lebih Dengan JDT Suku Akhir Piala Malaysia 2014"