Informasi Sukan Malaysia

Tiger Woods Lebih Baik Tanpa Jurulatih

Tiger Woods

Tiger Woods Lebih Baik Tanpa Jurulatih | Jaguh golf Afrika Selatan, Ernie Els berkata Tiger Woods patut melupakan hasrat untuk mencari jurulatih baru selepas menamatkan khidmat Sean Foley malah boleh menjuarai gelaran Major atas usahanya sendiri.
Els berkata Woods tidak lagi beraksi seperti biasa selepas menamatkan kerjasama dengan Butch Harmon pada 2003 dan bintang golf Amerika Syarikat (AS) itu tidak menggemari arahan daripada Hank Haney dan kemudian Foley.
Namun dia berkata Woods, pada usia 38 dan sering dihimpit kecederaan masih belum melepasi tahap permainan terbaiknya serta masih mampu mendominasi golf dunia sekalipun ketika Rory McIlroy sedang membara.
"Saya tidak fikir dia (Woods) sudah melepasi masa terbaiknya," kata Els. "Saya mengetahuinya kerana di mana seya berada pada usia 44 tahun, dan Tiger belum pun mencapai usia 40-an jadi masih banyak yang boleh dibuktikannya," kata Els.
Woods, juara 14 kali Major menamatkan kerjasama selama empat tahun bersama Foley minggu ini selepas gagal membantunya bangkit selepas menjalani pembedahan belakang.
Ramai peminat golf dunia menyaksikan McIlroy mengambil alih tempat Woods selaku bintang golf dunia selepas mencatat dua gelaran Major tahun ini, Terbuka British dan Kejuaraan PGA.
Dan Els yang juga pemenang empat kali gelaran Major dan kali terakhir memenanginya pada 2012 ketika berusia 42 tahun berkata Woods masih mampu mencabar McIlroy sekiranya dia meraih kembali kecergasan dan kembali kepada asas permainannya.
"Dia masih muda dan dia juga masih bertenaga. Dia berdepan beberapa kecederaan yang serius di tendonnya dan kini belakang dan ia bukan petanda yang baik. Namun jika dia sihat, dia mampu membuktikan dia boleh menang," kata Els. - AFP
Tag : GOLF
0 Komen untuk "Tiger Woods Lebih Baik Tanpa Jurulatih"

Back To Top