Informasi Sukan Malaysia

Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia di Johor Bahru 2014

Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia


Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia di Johor Bahru 2014 | PEMAIN golf muda dari seluruh rantau ini dan Afrika Selatan akan berhimpun di Malaysia untuk menyertai Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia 2014 yang akan berlangsung di Johor Baharu dari 8 hingga 12 Disember.

Lebih 400 pemain muda berumur lingkungan lima hingga 18 tahun dari lebih 20 negara dijangka berentap dalam kejohanan berprestij itu yang diadakan di Malaysia buat kali ketiga berturut-turut.

Kejohanan itu adalah versi antarabangsa Kejohanan Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat dan menawarkan peluang terbaik bagi golongan muda untuk bertanding pada kejohanan dunia dalam usaha menjadi pemain profesional yang hebat pada masa depan.

Chris Vonderkall, Naib Presiden Kejohanan Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat berkata amat menggembirakan apabila kejohanan yang diadakan di Malaysia itu menunjukkan kemajuan sejak dua tahun lepas.

"Kehadiran pemain yang kembali beraksi saban tahun membuktikan kejayaan dan penganjuran kejohanan berkenaan. Pemain remaja di Malaysia dan negara berjiran memperoleh manfaat besar daripada kejohanan ini.

Ia adalah pentas terbesar untuk menonjolkan bakat mereka dan menunjukkan kepada dunia betapa hebatnya pemain-pemain muda ini," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Vonderkall berkata usaha memperkenalkan sukan golf kepada kanak-kanak dan keluarga mereka adalah misi Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat dan penganjurannya di Malaysia membantu mencapai misi ini.

"Kami berharap ia diteruskan selama beberapa tahun akan datang. Saya fikir pasukan penganjur telah melakukan usaha terbaik. Ia merupakan penganjuran besar membabitkan kanak-kanak, keluarga mereka, kursus dan sukarelawan.

Setiap tahun pasukan belajar banyak perkara dan menunjukkan peningkatan pada tahun berikutnya," katanya.   

Beliau berkata Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat yang diadakan di seluruh dunia disertai lebih 10,000 kanak-kanak dari 40 negara dan perkembangan di peringkat antarabangsa adalah peluang baik bagi mereka melibatkan diri dalam sukan, sambil menambah Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat teruja untuk membantu melahirkan pemain golf kanak-kanak di Malaysia.

Kejohanan Dunia Golf Kanak-kanak Malaysia 2014 ialah cabang Yayasan Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada 2001.

Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia Amerika Syarikat berfungsi sebagai landasan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga mereka menyertai sukan golf melalui latihan dan pertandingan.

Misi utamanya adalah membantu kanak-kanak mempelajari asas golf secara seronok selain menggalakkan interaksi antara anggota keluarga untuk mewujudkan kenangan yang berkekalan.

Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia dibawa oleh US Kids Golf dengan kerjasama Royal Sporting House (Malaysia) Sdn Bhd dan diuruskan oleh Concept Collaboration Sdn Bhd.   

Kejohanan itu diiktiraf Persatuan Golf Malaysia dan disokong oleh Malaysia Major Events, bahagian Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Kejohanan itu menawarkan mata ranking amatur dunia.  B Sukumaran daripada Concept Collaboration berkata respons remaja amatlah menggalakkan dengan lebih 180 remaja dari seberang laut menghantar permohonan untuk menyertainya.

"Hanya Kejohanan Golf Kanak-kanak Amerika Syarikat menggunakan format yang menyaksikan pemain kanak-kanak menentang pemain dalam kumpulan umur yang sama. Pendedahan bertanding dengan kanak-kanak dari seluruh dunia adalah kesempatan yang jarang diperoleh kanak-kanak Malayaia. - Bernama
Tag : GOLF
0 Komen untuk "Kejohanan Golf Kanak-kanak Sedunia di Johor Bahru 2014"

Back To Top