Informasi Sukan Malaysia

Malaysia Layak Ke Separuh Akhir Piala Axiata 2014

Piala Axiata 2014
Malaysia menempah slot ke separuh akhir selepas seri 2-2 dengan Singapura pada perlawanan terakhir pusingan pertama Kejohanan Badminton Piala Axiata 2014 di Britama Arena, Jakarta hari ini.
Juara bertahan itu layak apabila menduduki tangga keempat dengan mengumpul 17 mata setelah menamatkan tujuh perlawanan dengan empat kali menang, dua kali kalah dan satu seri.
Pada Isnin lepas, Indonesia muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mengumpul 18 mata dengan memenangi empat perlawanan dan satu seri.
Pada perlawanan pelengkap hari ini pula Indonesia menewaskan Thailand 3-1, manakala pasukan pilihan Asia mencatat kemenangan 3-1 ke atas Filipina.
Pasukan pilihan Asia dan Thailand turut layak ke separuh akhir selepas masing-masing mengumpul 19 mata.
Keempat pasukan ini, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Pilihan Asia bakal berentap di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras di sini pada Sabtu dan Ahad, manakala undian akan dilakukan Jumaat ini.
Pada perlawanan hari ini menentang Singapura, skuad badminton negara memperoleh dua mata menerusi perseorangan lelaki dan pasangan beregu lelaki.
Liew Daren diheret bermain 'rubber set' sebelum berjaya menewaskan lawannya Loh Kean Yew 18-21, 21-15 dan 21-19.
Liew yang tunduk pada set pertama, bangkit pada set kedua dan mengekalkan rentak permainan agresif sebelum menamatkan set penentuan yang mendebarkan untuk memastikan mata pertama diperolehi skuad negara.
Perseorangan wanita negara Tee Jing Yi bagaimanapun kecundang mudah kepada Liang Xiaou Yu 8-21 dan 11-21, sekali gus membolehkan Singapura menyamakan kedudukan.
Beregu lelaki negara, Tan Wee Keong-Tan Boon Heong menghadapi saingan sengit apabila saling berkejaran mata sebelum kembali meletakkan Malaysia di hadapan selepas mengalahkan Loh Kean Hean-Terry Hee Yong Kai dengan 21-16 dan 21-17.
Misi mencari mata tambahan tersekat apabila gandingan beregu campuran negara Chan Peng Soon-Lai Pei Jing tewas kepada pasangan Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han dengan keputusan 12-21 dan 18-21.
Kejohanan tahunan ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$1 juta (RM3.42 juta).
Kejohanan edisi kali ini masih mengekalkan format sama merangkumi lapan pasukan terdiri daripada enam negara dan dua pasukan jemputan mewakili Asia dan Eropah. Selain Malaysia, kejohanan itu turut disertai pasukan dari Indonesia, Thailand, Filipina, Vietnam, Singapura serta dua pasukan jemputan, Bintang Asia dan Bintang Eropah. - BERNAMA
Tag : BADMINTON
0 Komen untuk "Malaysia Layak Ke Separuh Akhir Piala Axiata 2014"

Back To Top