Tiket Perlawanan Pahang Lawan Kedah Habis Macam Goreng Pisang Panas | Pahang harus membalas keyakinan penyokongnya dengan kemenangan selepas kesemua 32,500 tiket bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia, hari ini habis dijual dalam masa kurang empat jam.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) Fuzzemi Ibrahim berkata jualan pantas itu menunjukkan keyakinan penyokong terhadap skuad Tok Gajah amat menebal walaupun tewas 1-3 kepada Kedah pada Ahad lepas.
"Kita buka lapan kaunter termasuk satu kaunter khas untuk wanita di Stadium Darul Makmur selain 5,000 tiket dijual di Stadium Mini Temerloh hari ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tiket berharga RM12 adalah tempat duduk terbuka, RM15 berbumbung dan RM25 tempat duduk utama.
Beliau berkata kaunter tiket, yang dibuka pada 10 pagi, ditutup 1.30 petang dengan sambutan amat menggalakkan dapat penyokong yang membeli tanpa mencetuskan kejadian tidak diingini.
Penyandang Piala Malaysia itu akan menerima kunjungan balas skuad Helang Merah di Stadium Darul Makmur pada malam esok selepas tewas dalam perlawanan separuh akhir pertama 1-3 di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah.
Untuk saingan Liga Malaysia 2014, Pahang merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan Lions XII dengan jaringan 1-0 di Stadium Darul Makmur.
Bagi Piala FA pula, Pahang menewaskan Felda United dengan jaringan 2-1 di Stadium Shah Alam, Selangor. - Bernama
Tag :
BOLASEPAK,
PIALA MALAYSIA
0 Komen untuk "Tiket Perlawanan Pahang Lawan Kedah Habis Macam Goreng Pisang Panas"