Informasi Sukan Malaysia

Messi Bakal Penjaring Gol Terbanyak Dalam Sejarah La Liga

Messi Bakal Penjaring Gol Terbanyak Dalam Sejarah La Liga | Bintang Barcelona, Lionel Messi boleh menggandakan keraian sambutan 10 tahunnya bersama kelab gergasi Catalan itu, minggu ini dengan bergelar penjaring terbanyak dalam sejarah La Liga Sepanyol.
Lionel Messi Pemain kelahiran Argentina itu mula beraksi dalam perlawanan kompetitif La Liga bersama Barca pada usia 17 tahun ketika mencatat kemenangan 1-0 ke atas musuh tetangga, Espanyol pada 16 Oktober 2004.
Dan perlawanan menentang Eibar, hujung minggu ini membuka peluang buatnya untuk menyamai rekod dipegang legenda, Telmo Zarra sebagai penjaring terbanyak La Liga dengan 251 gol yang dicipta pada era 1950-an.
Ketika ini Messi sudah mengumpul 249 gol.
Messi yang memberitahu peminatnya dia sentiasa mahu memperbaiki diri dan memenangi lebih banyak kejayaan ketika menyambut tempoh sedekad bersama Barca, semalam berada dalam prestasi terbaik dengan membantu Barcelona menghuni tangga teratas liga.
Berakhir tujuh perlawanan, Barca mencatat enam kemenangan dan sekali seri dan memiliki kelebihan dua mata berbanding Valencia di puncak liga.
"Saya mahu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua keluarga saya, teman, rakan sepasukan dan staf Barcelona kerana sokongan mereka untuk 10 tahun yang menakjubkan ini," kata Messi dalam laman Facebook miliknya.
"Saya sentiasa berasa gembira di atas padang, memakai jersi ini, menikmati masa yang hebat dan sentiasa cuba untuk memperbaiki dan memenangi gelaran bersama pasukan saya," katanya.
Selepas Eibar, Barca akan menanti perlawanan 'Clasico' pertama menentang Real Madrid, minggu depan. - AFP
0 Komen untuk "Messi Bakal Penjaring Gol Terbanyak Dalam Sejarah La Liga"

Back To Top