Informasi Sukan Malaysia

Liverpool Hanya Kalah Dan Bukannya Tersingkir

Liverpool Hanya Kalah Dan Bukannya Tersingkir BASEL: Brendan Rodgers enggan menafikan peluang Liverpool dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah sekalipun mempamer aksi longlai ketika tewas 1-0 kepada Basel, awal pagi tadi.
liverpool fcBasel melakar kemenangan tipis di St Jakob-Park menerusi jaringan tunggal kapten juara Switzerland itu, Marco Streller hanya tujuh minit selepas perlawanan babak kedua bermula.
The Reds yang sebelum ini menang tipis 1-0 ke atas kelab Bulgaria, Ludogorets Razgrad pada aksi pertama hasil jaringan kapten, Steven Gerrard akan bertemu gergasi Sepanyol, Real Madrid pada aksi ketiga Kumpulan B.
Sekalipun kekalahan di Basel mula mencetus kebimbangan terhadap penyokong di Anfield, pengurus Liverpool, Rodgers menegaskan peluang buat pasukannya masih terbuka.
"Kumpulan ini amat sengit. Ia akan menjadi kumpulan yang akan bertarung sehingga penghujungnya, terutama untuk tempat kedua. Kami tidak berilusi yang ia akan menjadi sukar.
"Objektif kami masih untuk mara ke pusingan kalah mati.
"Adalah sesuatu yang mengecewakan malam ini kerana perlawanan selepas ini adalah perkara yang besar di Anfield. Dalam kejohanan ini, perlawanan di tempat sendiri amat penting namun kami berharap untuk layak kerana itu adalah sasaran kami."
Liverpool yang kembali menyertai aksi Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas lima tahun terikat tiga mata bersama juara Switzerland, Basel dengan Real menghuni tangga teratas dengan enam mata hasil kemenangan 2-1 ke atas Ludogorets.
Penyandang juara itu akan berkunjung ke Anfield pada 22 Oktober depan sebelum Liverpool membuat kunjungan balas pada 4 November.
Dalam pada itu, Rodgers terus mempertahankan penyerangnya, Mario Balotelli dan Lazar Markovic sekalipun mempersia-siakan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua.
"Ia mengecewakan selepas apa yang kamu lakukan ketika sesi latihan," katanya. "Apabila kamu melepaskan bola seperti itu, ia sesuatu yang amat sukar terutama menentang pasukan yang memiliki rekod baik menentang pasukan Inggeris," katanya.
"Secara teknikal, kami tidak mencapai tahap yang kami miliki tahun lalu namun saya berharap kehadiran pemain-pemain yang berdepan kecederaan akan membuatkan kami semakin pulih."
Liverpool ketika ini menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris dan akan menanti kunjungan West Brom di Anfield. - AFP
Tag : BOLASEPAK, UCL
0 Komen untuk "Liverpool Hanya Kalah Dan Bukannya Tersingkir"

Back To Top