Informasi Sukan Malaysia

Man United Belanja Paling Mewah Sebelum Jendela Perpindahan Pemain Berakhir

Falcao Man United
Kelab gergasi Inggeris, Manchester United mendominasi pembelian ketika jendela perpindahan Eropah ditutup, awal pagi ini dengan pengurus barunya, Louis van Gaal secara keseluruhan membelanjakan lebih daripada 150 juta pound (RM787.2 juta).
Bekas jurulatih kebangsaan Belanda itu yang masih belum mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan kompetitif termasuk kekalahan memalukan 4-0 kepada kelab divisyen tiga, MK Dons mengakhiri pembelian mewahnya dengan mendapatkan pemain tengah Ajax, Daley Blind dengan nilai 14 juta pound (RM73.4 juta).
Selain Blind, United juga membawa masuk penyerang berbisa Colombia, Radamel Falcao dengan jumlah 6 juta pound (RM31.4 juta) secara pinjaman selama semusim dari kelab Monaco.
"Sesuatu yang amat membanggakan untuk beraksi bersama Manchester United," kata Blind. "Louis van Gaal adalah jurulatih yang amat berbakat. Saya pernah bekerja bersamanya di Ajax dan skuad kebangsaan Belanda dan saya tidak sabar untuk beraksi bersama kelab terbaik di dunia," katanya.
Van Gaal dalam pada itu berkata: "Saya amat gembira dengan kehadiran Daley. Dia pemain yang amat berbakat dan boleh beraksi di mana-mana posisi. Dia sudah bermain dengan falsafah saya sejak beberapa tahun dan akan menjadi tambahan yang hebat kepada pasukan."
Minggu lalu, United memecahkan rekod pembelian British dengan kehadiran pemain Argentina, Angel Di Maria dengan nilai 59.7 juta pound (RM313.3 juta) dari Real Madrid malah sebelum ini sudah mendapatkan pemain tengah Athletic Bilbao, Ander Herrera dengan nilai 29 juta pound (RM152.2 juta).
Dan pemain yang meninggalkan United ialah penyerang Mexico, Javier Hernandez yang menyertai Real Madrid secara pinjaman selepas menghabiskan masa empat tahun bersama kelab itu selain penyerang England, Danny Welbeck ke Arsenal.
Ketika beberapa kelab ternama Eropah sudah melengkapkan pembelian pemain sebelum tarikh akhir jendela perpindahan, beberapa kelab di England tetap mengambil peluang di saat akhir untuk mengesahkan pembelian.
Hull City memecahkan rekod pembelian kelab dengan mendapatkan pemain Uruguay berusia 24 tahun, Abel Hernandez dari kelab Itali, Palermo selama tiga tahun dengan nilai melebihi 9.5 juta pound (RM49.8 juta) selain membayar Tottenham 7 juta pound (RM36.7 juta) untuk mendapatkan Jake Livermore pada Jun selain dua pemain tengah, Mohamed Diame dari West Ham United dan Gaston Ramirez dri Southampton.
Pengurus baru Crystal Palace, Neil Warnock pula mendapatkan pemain kebangsaan Scotland, James McArthur dari Wigan Athletic dengan kontrak selama tiga tahun selain mendapatkan pertahanan Tottenham, Zeki Fryers.
Kelab baru dinaikkan pangkat, Queens Park Rangers pula melakukan pembelian akhir selepas Harry Redknapp membawa masuk pemain antarabangsa Brazil, Sandro dari Tottenham dengan nilai yang tidak didedahkan.
Tottenham di bawah jurulatih baru, Mauricio Pochettino juga melakukan pembelian saat akhir dengan mendapatkan pemain bawah 21 tahun Perancis, Benjamin Stambouli dan meminjamkan Lewis Holtby ke Hamburg SV.
Penyandang juara EPL, Manchester City yang membuat pembelian mega musim lalu melepaskan pertahanan England, Micah Richards ke kelab Serie A Itali, Fiorentina secara pinjaman selain turut melepaskan penyerang Sepanyol, Alvaro Negredo ke Valencia secara pinjaman.
Sunderland mendapatkan pemain Argentina berusia 26 tahun, Ricky Alvarez dari Inter Milan selain pertahanan Uruguay, Sebastian Coates dari Liverpool secara pinjaman.
Pemain tengah Belanda, Marco van Ginkel, 21 pula meninggalkan Chelsea untuk menyertai AC Milan secara pinjaman, mengikuti jejak rakan sepasukannya, Fernando Torres. - REUTERS & BH online
Tag : BOLASEPAK, BPL
0 Komen untuk "Man United Belanja Paling Mewah Sebelum Jendela Perpindahan Pemain Berakhir "

Back To Top