Tuan rumah, Korea Selatan membuktikan ramalan di atas kertas tepat selepas mudah membenam Malaysia 3-0 pada aksi pertama Kumpulan A Sukan Asia di Stadium Munhak, Incheon, sebentar tadi.
Menguasai hampir keseluruhan perlawanan, Korea mula melakukan cubaan tepat ke gawang Malaysia seawal minit ketiga menerusi penyerang berbisanya, Kim Shin Wook namun berjaya dihalang Mohd Izham Tarmizi Roslan.
Rentetan peluang terus dihasilkan Korea selepas itu namun tidak berjaya menghasilkan gol sebelum membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi Rim Chang Woo.
Hasil sepakan sudut, Chang Woo pantas melonjak tinggi untuk membuat tandukan tajam yang terus menerjah kanan gawang Malaysia tanpa mampu dihalang Izham.
Sebelum berakhir babak pertama, Malaysia hampir membuat kejutan menerusi cubaan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-32 namun rembatannya berjaya ditangkap penjaga gol Korea, Kim Seung Gyu.
Babak kedua lebih hambar buat Malaysia apabila cubaan kebangkitan yang dicari jurulatih, Datuk Ong Kim Swee tidak kesampaian malah terus dibolosi Korea.
Dan penyerang berpangkalan di Jerman berusia 27 tahun, Shin Wook berjaya membuktikan bisanya apabila meledak gol kedua Korea pada minit ke-77 selepas mudah memperdaya pertahanan negara di depan gawang.
Dan kelemahan jentera serangan tengah dikemudi kapten, Fadhli Shas dan Amer Saidin terus menjadi punca kepada gol ketiga Korea yang disumbang Kim Seung Dae pada minit ke-81.
Pada satu lagi aksi Kumpulan A, satu lagi pasukan dianggap pencabar Arab Saudi menewaskan Laos 3-0.
Sukan Asia 2014 (Bola sepak)
- Keputusan perlawanan: Korea Selatan 3 Malaysia 0
Gol: Rim Chang Woo (m26), Kim Shin Wook (m77), Kim Seung Dae (m81)
BH online
Tag :
BOLASEPAK,
SUKAN ASIA
0 Komen untuk "Malaysia Tewas Perlawanan Pertama Bolasepak Sukan Asia Incheon 2014"