Informasi Sukan Malaysia

Malaysia Diaibkan Indonesia Dalam Futsal AFF 2014

Malaysia Diaibkan Indonesia Dalam Futsal AFF 2014 | Skuad futsal Malaysia memulakan kempen Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2014 dengan langkah sumbang apabila diaibkan Indonesia 1-6 pada perlawanan pembukaan Kumpulan A di Stadium Melawati di sini, hari ini.
Futsal AFF 2014Pasukan negara bimbingan Maizal Hairi Marzuki ternyata gagal menandingi gerakan kemas Indonesia serta menampilkan rentak persembahan hambar sehingga hanya mampu melihat gawang dibolosi.
Indonesia hanya memerlukan masa tiga minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Bambang Bayu Saptaji diikuti gol kedua Andri Kistiawan pada minit kelapan.
Bagaimanapun, Malaysia mampu merapatkan jaringan dua minit kemudian menerusi Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin sebelum tamat separuh masa.
Pada babak kedua, skuad negara semakin longlai apabila Indonesia menguasai perlawanan dengan gerakan pantas dan menambah empat lagi gol menerusi Jaelani Ladjanibi (m24), Ardy Dwi Suwardy (m25), Bambang (m35) dan Nur Ali pada minit ke-36.
Maizal Hairi berkata beliau kecewa dengan aksi longlai skuad negara yang dimalukan di laman sendiri.
"Pemain banyak melakukan kesilapan, hilang fokus dan cepat kecewa selepas gagal menyudahkan beberapa peluang jaringan," katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan A dengan naib juara Australia, Brunei, Timor Leste dan Indonesia manakala Kumpulan B terdiri daripada juara bertahan, Thailand, Vietnam, Myanmar, Laos dan Filipina.
Dalam satu lagi saingan Kumpulan A, Timor Leste mengalahkan Brunei 2-0 manakala dalam perlawanan Kumpulan B pula, Vietnam membenam Myanmar 6-1 dan Laos seri 4-4 dengan Filipina. - BERNAMA
Tag : BOLASEPAK
0 Komen untuk "Malaysia Diaibkan Indonesia Dalam Futsal AFF 2014"

Back To Top