Informasi Sukan Malaysia

Malaysia Bakal Raih Emas Keempat Dari Perahu Layar

Malaysia Bakal Raih Emas Keempat Dari Perahu Layar | INCHEON: Malaysia terpaksa menunggu sehari lagi untuk mengesahkan pingat emas dalam acara perahu layar apabila hujan lebat memaksa dua perlumbaan terakhir ditangguhkan pada temasya Sukan Asia ke-17 di Wangsan Sailing Marina, dekat sini, hari ini.
perahu layar sukan asiaDalam acara 'Double Handed Dinghy 420' lelaki, jurumudi Mohamad Faizal Norizan dan kru, Ahmad Syukri Abdul Aziz, menduduki tangga teratas dengan 14 mata penalti selepas 10 perlumbaan.
Gandingan negara itu dicabar hebat oleh pelayar Jepun yang menduduki tangga kedua dengan 19 mata penalti.
Mengikut syarat pertandingan, pasukan yang mendapat mata penalti terendah selepas 12 perlumbaan akan meraih emas.
Bagaimanapun, berdasarkan kedudukan semasa, gandingan pelayar negara hanya perlu menamatkan dua perlumbaan terakhir dengan sekurang-kurangnya dalam kelompok tiga terbaik untuk mengesahkan emas.
Mohamad Faizal berkata beliau dan rakannya tidak beranggapan bahawa penangguhan itu sebagai satu tekanan sebaliknya perlu bersabar kerana telah biasa dengan keadaan tersebut.
"Pada saingan esok kami mempunyai banyak pilihan untuk menang tetapi perlu memastikan dapat menamatkan saingan di hadapan pasukan tempat kedua iaitu Jepun," katanya kepada pemberita selepas pihak penganjur pertandingan mengumumkan aksi dua perlumbaan terakhir ditunda akibat hujan.
Skuad pelayaran negara dijangka menyumbang tiga lagi pingat sama ada pingat perak atau gangsa menerusi Khairulnizam Mohd Afendy dalam acara Laser individu lelaki, Muhammad Dhiauddin Rozaini (Optimist lelaki) dan gandingan Nuraisyah Jamil dan Umi Norwahida Sallahuddin dalam acara 'Double Handed Dinghy 420' wanita.
Pada Sukan Asia edisi Guangzhou, China empat tahun lalu, emas dimenangi menerusi gandingan Khairunnisa Mohd Afendy dan Norashikin Mohd Sayed dalam kelas wanita International 420.
Tiga pingat perak pula diperoleh menerusi Mohd Romzi Mohamad (kelas Laser Radial), Mohamad Farhan (Optimist) dan gandingan Ku Anas Ku Zamil dan Mohd Hafizuddin dalam acara lelaki kelas International 420.
Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, Malaysia meraih satu emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist. -BERNAMA
Tag : SUKAN ASIA
0 Komen untuk "Malaysia Bakal Raih Emas Keempat Dari Perahu Layar"

Back To Top