Satu Emas Satu Perak Keputusan Squash Perseorangan Sukan Asia 2014 | Impian menambah koleksi pingat emas acara skuasy musnah apabila Ong Beng Hee tersingkir, hari ini.
Bekas pemain nombor satu negara itu tewas kepada pilihan pertama dari India, Saurav Ghosal 11-9, 11-4, 11-5 dalam separuh akhir di Gelanggang Skuasy Yeorumul - sekali gus gagal mempertahankan gelaran juara untuk negara.
Beng Hee menang emas pada 2002 (Busan) dan 2006 (Doha) sebelum Azlan Iskandar mengikut jejak sama muncul juara pada edisi 2010 (Guangzhou).
Senario berbeza pula dengan pemain wanita negara yang sudah mengesahkan emas dan perak milik kontinjen negara.
Datuk Nicol Ann David dan Low Wee Wern akan membuat penentuan juara dalam satu pertemuan sentimental sesama rakan senegara dan juga rakan negeri dari Pulau Pinang.
Wee Wern yang belum pernah kalah dalam tujuh perlawanan sejak memenangi Terbuka China, awal bulan ini mara ke final selepas menewaskan pemenang pingat perak Sukan Asia 2010, Annie Au dari Hong Kong 11-9, 11-5, 11-5 di separuh akhir, hari ini.
Nicol pula tidak banyak mengerah keringat ketiga menumbangkan pemain India, Dipika Pallikal 11-4, 11-4, 11-5 dalam satu lagi saingan peringkat sama.
Wee Wern dipetik berkata dia mahu melupakan sementara betapa Nicol adalah sumber inspirasi dan rakan baiknya dalam final nanti.
"Saya akan cuba beri tentangan sengit kepadanya untuk meraih pingat emas," katanya yang tewas kepada Nicol dalam semua 11 pertemuan sebelum ini.
Nicol mara ke final buat kali berturut-turut dan hanya satu langkah lagi untuk menjadi atlet Malaysia memenangi emas terbanyak dalam temasya terbesar Asia ini.
"Saya tidak percaya laluan mudah untuk saya menang. Ingat...Wee Wern juga mahu menjadi juara. Saya perlu berwaspada dengan ancaman bakal diterima," kata pemain nombor satu dunia itu - BH online
Tag :
SQUASH,
SUKAN ASIA
0 Komen untuk "Satu Emas Satu Perak Keputusan Squash Perseorangan Sukan Asia 2014"