Indonesia Dipilih Tuan Rumah Sukan Asia 2018 | INCHEON: Lembaga Eksekutif Majlis Olimpik Asia (OCA), hari ini mengumumkan Indonesia sebagai tuan rumah penganjuran edisi ke-18 Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung pada 2018.
Badan induk sukan Asia itu perlu mencari pengganti pantas selepas Vietnam yang sebelum ini dijadual menjadi tuan rumah menarik diri pada April selepas mengatakan mereka tidak mampu menggalas tugas itu.
"Ia sudah diluluskan oleh Lembaga Eksekutif (EB) hari ini dengan Jakarta, Indonesia akan menjadi tuan rumah Sukan Asia pada edisi 2018," kata Presiden OCA, Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah.
Keputusan itu sepatutnya diumumkan badan induk itu pada mesyuarat, esok namun Sheikh Ahmad menegaskan pengumuman awal itu penting untuk memberinya "kelebihan dalam memutuskan dan mencari pengganti untuk Vietnam."
Ahli Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Ade Lukman berkata pihaknya gembira dengan perkhabaran itu.
"Dipilih untuk menganjurkan Sukan Asia adalah satu penghormatan buat rakyat Indonesia," katanya.
Jawatankuasa OCA bermesyuarat di Incheon menjelang pembukaan rasmi Sukan Asia ke-17, hari ini.
Temasya sukan dianggap kedua terbesar dunia selepas Sukan Olimpik itu mengumpulkan seramai 13,000 atlet, jurulatih dan pegawai daripada 45 negara yang beraksi dalam 36 jenis sukan.
Vietnam yang sebelum ini dijadual menganjurkan Sukan Asia ke-18 pada 2019 begitupun menarik diri akibat masalah ekonomi dengan Indonesia pantas menjadi calon gantian terbaik kerana tiada calon lain yang benar-benar serius.
Sekalipun pada mulanya dijadualkan dianjurkan pada 2019 bagi mengelak Sukan Olimpik pada 2018, Indonesia begitupun meletakkan syarat hanya boleh menganjurkannya pada 2018 kerana mereka bakal melalui pilihanraya Presiden pada 2019.
Begitupun, berita itu pantas mencetus persoalan di Indonesia mengenai persiapan venue pertandingan yang dikatakan bakal memakan kos yang tinggi. - AFP & BH online
Tag :
SUKAN ASIA
0 Komen untuk "Indonesia Dipilih Tuan Rumah Sukan Asia 2018"