Informasi Sukan Malaysia

Harimau Malaya Terus Hambar Di Indonesia

Skuad Harimau Malaya meneruskan persembahan hambar pada aksi persahabatan antarabangsa apabila tewas 0-2 kepada Indonesia di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, Surabaya, Indonesia, hari ini.
Harimau MalayaIa kekalahan kedua buat skuad kendalian Dollah Salleh itu tahun ini selepas kecundang 1-4 kepada Tajikistan pada aksi persahabatan pertama di Stadium Central, Dushanbe, Tajikistan, pada 8 Ogos lepas.
Pada perlawanan terbabit, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun gagal menemui sentuhan jaringan sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Bersambung separuh masa kedua, Indonesia yang mendapat sokongan padu penyokong setia mereka, terus menggandakan serangan ke kubu Malaysia.
Usaha mereka ternyata berbaloi apabila pemain pertahanan negara, Mohd Muslim Ahmad yang tertampan bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-64 ketika cuba mengeluarkan hantaran lintang daripada pemain tuan rumah.
Skuad 'Garuda' berjaya menggandakan jaringan menerusi tandukan penyerang kelab Liga Super Indonesia, Arema Cronus, Samsul Arif Munif pada minit ke-88 selepas memanfaatkan hantaran lintang daripada rakan sepasukan.
Malaysia akan meneruskan aksi persahabatan menentang Kemboja pada 20 September ini di Stadium Shah Alam sebelum berdepan Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Oktober.
Perlawanan persahabatan itu menjadi persediaan Dollah bagi menghadapi Kejohanan Piala AFF Suzuki 2014 yang dijadualkan berlangsung di Singapura dan Vietnam dari 22 November hingga 20 Disember ini.
Malaysia berdepan laluan sukar pada kejohanan serantau Asia Tenggara itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand dan pemenang dari pusingan kelayakan.
Pusingan kelayakan Piala AFF Suzuki akan berlangsung di Laos dari 12 hingga 20 Oktober ini membabitkan empat negara iaitu Myanmar, Brunei, Timor Leste dan Kemboja bagi merebut dua slot terakhir kejohanan. - BERNAMA
Tag : BOLASEPAK
0 Komen untuk "Harimau Malaya Terus Hambar Di Indonesia"

Back To Top