Informasi Sukan Malaysia

Arsenal Tak Dapat Falcao, Welbeck Pun Jadilah

Arsenal Tak Dapat Falcao, Welbeck Pun Jadilah
LONDON: Arsenal ibarat 'tiada rotan, akar pun jadilah'.
Itulah senario di Emirates selepas Arsene Wenger gagal memancing bintang Colombia, Radamel Falcao tapi terpaksa berpuas hati dengan pembelian penyerang muda Manchester United, Danny Welbeck pada saat-saat terakhir jendela perpindahan yang ditutup, hari ini.
Wenger tertekan tanpa ayam tambatannya, Olivier Giroud yang tercedera dan kehadiran penyerang England itu harus menjadi sedikit penawar duka ketika dia tiada pilihan.
United memintas Arsenal dengan mengikat Falcao atas pinjaman semusim dari Monaco dan Wenger seperti belum puas hati dengan perkembangan sekarang tapi terpaksa mengharapkan kepada sentuhan berbisa Welbeck.
Satu yang pasti adalah Welbeck bukan penyerang prolifik seperti Falcao dan pengurus The Gunners itu percaya dia tetap dapat mencanang sesuatu daripada 'bahan mentah' yang ada padanya ketika ini.
Ia satu tanda tangan yang nampak praktikal dan menjadi harapan Arsenal sesuatu dapat dihasilkan selepas ini.
Difahamkan perpindahan itu juga membawa reaksi campur-campur daripada penyokong Gunners yang sebelum ini mengharapkan nama lebih besar akan berjaya diserap dalam pasukan sebelum tarikh tutup itu. Secara ringkasnya, mereka harap Falcao akan berada di Emirates.
Ada yang cemburu dan ada yang membenci United ketika ini. Bagi mereka, musuh mereka sudah meragut daripada mereka bintang Colombia itu.
Tetapi, Welbeck adalah pemain antarabangsa England dengan sikap yang baik dan ada ruang untuknya berjaya meningkatkan tahap permainan.
Ada permintaan dibuat untuk mendapatkan Matija Nastasic dari Manchester City ketika Wenger mahu menguatkan benteng pertahanan pasukan. Ada sesetengah menyoal ketiadaan pemain tengah yang mantap.
Tapi, seperti musim-musim lalu, Wenger lebih tegas dalam urusan perpindahan dan tidak mahu ambil pemain baharu semata-mata kerana ada ruang untuk melakukannya.
Kini, bola di kaki Welbeck untuk membalas kepercayaan kelab ke atasnya. Tapi sebagai penyerang yang penuh komitmen dia akan berjaya bawah bimbingan Wenger. - Agensi & BH online
Tag : BOLASEPAK, BPL
0 Komen untuk "Arsenal Tak Dapat Falcao, Welbeck Pun Jadilah"

Back To Top