Keputusan Final Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2014 | Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2014 sekali lagi dikuasai pemain Mesir yang merangkul kedua-dua gelaran lelaki dan wanita pada perlawanan akhir yang berlangsung di pusat membeli-belah terkemuka di ibu negara, hari ini.
Untuk rekod, ini kali kedua pemain dari Mesir menguasai kedua-dua kategori itu selepas edisi 2012.
Pada final acara wanita, pemain nombor tiga dunia, Raneem El Weleily merangkul gelaran Terbuka Malaysia keduanya selepas mengalahkan rakan senegara Nour El Tayeb 7-11, 11-3, 12-10, 2-11 dan 11-7.
Pemain berusia 25 tahun itu merangkul gelaran sulungnya selepas menundukkan ratu skuasy negara Datuk Nicol David pada final edisi 2012.
"Saya amat gembira untuk menjuarai kejohanan ini sekali lagi selepas sekian lama tidak merasai kejayaan," kata Raneem yang membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai US$10,200 (RM32,242).
Dalam pada itu, Nour, selaku naib juara, memperoleh hadiah wang tunai US$6,900 (RM21,810).
Dalam acara final lelaki, Mohamed El Shorbagy mengambil masa 34 minit sahaja untuk merangkul kejuaraan sulung Terbuka Malaysia selepas mengalahkan pemain Hong Kong, Max Lee, dengan 11-6, 11-7 dan 11-9.
"Ini adalah kemenangan sulung musim ini dan ia amat berharga bagi saya. Kejayaan ini sudah pasti menyuntik semangat untuk persediaan menghadapi Terbuka Hong Kong minggu depan," kata El Shorbagy.
Kejayaan itu membolehkan pemain berusia 23 tahun itu membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai US$8,055 (RM25,461) manakala Max, yang mara dari pusingan kelayakan, menerima US$5,511 (RM17,420). - BERNAMA
Tag :
SQUASH
0 Komen untuk "Keputusan Final Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2014 "