Informasi Sukan Malaysia

Keputusan Akhir Malaysia Di Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014)

Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014)
Keputusan Akhir Malaysia Di Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014)  | NANJING: Kontinjen negara pada Temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) Kedua, di sini mengakhiri cabaran temasya sukan remaja terbesar dunia itu dengan membawa pulang sebutir pingat emas, dua perak serta satu gangsa.
Keputusan itu mengatasi pencapaian kontinjen negara pada edisi pertama YOG di Singapura empat tahun lalu yang menyaksikan hanya ratu terjun negara, Pandelela Rinong membawa pulang dua pingat perak.
Empat pingat negara pada YOG 2014 masing-masing disumbangkan oleh pemain badminton pelapis negara Cheam June Wei yang meraih emas dalam acara beregu campuran antarabangsa; penerjun pelapis negara Loh Zhiayi memenangi perak dalam acara 10m platform individu dan gangsa bagi acara 3m papan anjal individu wanita serta pemanah negara, Muhamad Zarif Syahiir Zolkifli, yang mendapat pingat perak acara recurve campuran antarabangsa.
Zhiayi gagal menyumbang pingat pada hari terakhir cabaran temasya itu apabila hanya menduduki tempat ketujuh acara terjun berkumpulan antarabangsa di Nanjing OSC Natatorium, hari ini.
Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran pingat kepada kontinjen negara di YOG 2014 kerana beranggapan temasya itu sebagai medan pendedahan awal buat atlet baharu di pertandingan bertaraf antarabangsa sebelum mengalas cabaran ke peringkat lebih tinggi.
Kontinjen negara yang diketuai bekas pemain badminton negara, Wong Pei Tty, mengambil bahagian dalam 10 daripada 28 jenis acara yang dipertandingkan.
Acara berkenaan ialah akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, memamah, menembak, olahraga, pelayaran, taekwondo, dan juga ekuestrian.
China muncul juara YOG 2014 selepas mengumpul 38 pingat emas, 10 perak dan 13 gangsa diikuti Russia di tempat kedua dengan 23 emas, 18 perak dan 11 gangsa untuk mengatasi pencabar terdekat, Amerika Syarikat yang sehingga kini mengumpul sembilan pingat emas, dua perak dan enam gangsa. - BERNAMA
Tag : ATLET
0 Komen untuk "Keputusan Akhir Malaysia Di Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) "

Back To Top